Saya tertarik dengan sebuah ungkapan seorang kenalan. Katanya, sebuah hasil lukisan yang original takkan sama dengan hasil-hasil ciplak dari lukisan original tersebut. Walaupun hasil peniruan itu hampir-hampir sama, tetapi setiap satu hasil peniruan itu pasti berbeza, walaupun berjuta jumlahnya. Apa kaitannya dengan kita? Bagi mencapai kesempurnaan disisi Allah SWT, setiap umat Islam wajib mengikuti tatacara Rasulullah SAW. Namun, walau sekuat mana kita berusaha untuk mencapai persamaan dengan Rasulullah SAW, pastinya ia tidak kan sama kerana kita adalah individu yang berbeza. Setiap individu punya kekuatan dan kelemahan masing-masing. Itu memang tabi’i manusia. Ada yang punya stamina yang berlebihan seperti kaum Afrika. Ada kaum yang Allah kurniakan kelembutan jiwa. Ada kaum yang Allah SWT jadikan punya semangat yang kuat untuk bekerja. Oleh itu raikanlah perbezaan itu. Begitu juga secara individu. Setiap seorang punya kelebihan dan kekurangan masing-masing. Tidak layak kita untuk mendabik dada dengan kejayaan kita jika kita sedar yang kelebihan kita dari sesuatu segi itu adalah kurniaan Allah.
Contoh yang paling jelas adalah pelajar yang bodoh dan pintar didalam satu-satu tingkatan. Memang wujud pelajar yang lembab iaitu pelajar yang diajar berkali-kali tetapi masih tidah memahami konsep matematik umpamanya. Ada pelajar yang bila diajar sekali sahaja sudah dapat memahami. Kedua-dua pelajar bertungkus lumus belajar dan menghadapi peperiksaan. Mungkin pelajar yang pintar itu berusaha tidak sekuat pelajar yang lembab tadi. Secara logiknya bolehlah kita katakan yang pelajar yang pintar tadi akan lulus dengan cemerlang dan pelajar yang lembab tadi keputusannya bakal sederhana sahaja. Itu adalah fitrah alam. Tiada salahnya dengan apa yang berlaku. Akan tetapi keadaan menjadi salah apabila pelajar yang lembab itu mempersalahkan Allah kerana beliau tidak memahami apa yang sebenarnya yang berlaku. Pelajar yang pintar itu juga bersalah apabila ia merasakan kepintarannyalah yang mencetuskan kejayaannya. Dalam situasi sebegini sebenarnya pelajar yang merasakan dirinya lembab itu berada dalam situasi yang lebih selamat kerana kelemahannya membuat beliau merasa rendah diri. Dimasa hadapan juga beliau mungkin kurang Berjaya berbanding sipintar dari segi kerjaya dan keadaan ini tidak memungkinkan beliau mendapat penyakit-penyakit hati seperti sombong , riak , ujub dan takabbur. Beliau telah diselamatkan Allah dari segi itu. Namun demikian beliau masih berkewajipan dari segi-segi yang lain. Berbalik kepada sicerdik tadi, pastinya kan tercetus kekaguman pada dirinya. Keadaan bertambah buruk jika kehidupan seterusnya ‘is a smooth sailing’. Berjaya dengan cemerlang diperingkat pengajian tinggi dan seterusnya menapak dengan cemerlang dilapangan kerjaya. Berapa ramai manusia sebegini yang kita lahirkan didalam masyarakat kita? Jiwa-jiwa ini tenggelam dalam kekaguman diri dan memandang orang-orang bawahan dengan pandangan rendah. Jika tidak pandai menghasilkan kertas kerja digelar ‘bodoh’. Bercampur mereka hanya dengan manusia-manusia se’taraf’. Malangnya keangkuhan mereka itu pastinya tanpa mereka sedari kan membawa kehancuran kepada diri sendiri. Allah kan tambah nikmat-nikmat yang banyak seperti harta, wang ringgit, kemasyhuran dan kegemerlapan dunia agar mereka terus lalai sehingga akhirnya segala nikmat itu direnggut secara kasar dari mereka dengan mendadak.
Allah s.w.t telah berfirman di dalam ayat 44 - 45 surah Al-An'am yang bermaksud: (sila rujuk untuk kepastian)
"Tatkala mereka lupa akan apa yg diperingatkan kepada mereka, Kami bukakan bagi mereka beberapa pintu tiap-tiap sesuatu (nikmat dan kesenangan), sehinggalah apabila mereka telah bersuka ria dengan (kesenangan)yang mereka perdapat itu, lalu dengan se-konyong-konyong Kami siksa mereka, sehingga mereka berputus asa." -44- "Maka dihapuskanlah akhirnya kaum yang aniaya; dan pujian-pujian bagi Allah Tuhan Semesta Alam" -45-
Rasulallah s.a.w telah bersabda yang bermaksud:
"Apabila kamu melihat Allah memberikan kepada seorang hambaNya di dunia ini apa yang hamba itu suka atau berhajat, sedangkan hambaNya itu tetap dalam kemaksiatannya maka itulah ISTIDRAJ". Selepas itu Rasulallah s.a.w pun membaca ayat tadi 44- 45 (surah Al-An'am)
Bukan mudah untuk membuang rasa riak dan ujub didalam diri walaupun dikalangan manusia-manusia yang beriman. Ianya biasa saja berlaku walau dikalangan cerdik pandai Islam dan orang –orang yang soleh. Cuma bagi orang –orang yang ikhlas pastinya dengan keinginan yang besungguh-sungguh dari tuan punya diri, Allah akan bantu untuk memerangi wabak yang kita tidak sedari ini. Jangan terperanjat perusahaan yang sedang maju, perniagaan yang telah mencapai jutaan ringgit, dengan kehendak Allah boleh hancur. Seseorang yang terkenal tiba-tiba dimalukan dikhalayak ramai, jatuh air mukanya, mungkin disebabkan kasih sayang Allah padanya. Jika kita tidak berusaha sendiri mengubat penyakit kita, kemungkinan ubat dari Allah itu sangat pahit rasanya. Namun tiada ubat yang manis rasanya kecuali ubat batuk yang jika banyak dimakan kan membawa ketagihan. Sesungguhnya rahmat dan kasih sayang Allah itu meliputi segala-galanya. Apa yang sepatutnya berlaku pada pelajar yang pintar tadi ialah beliau harus sedar yang kelebihan dan kepintaran akal pada rongga tengkorak kepala beliau itu hanya refleksi kebijaksanaan Allah SWT. Kelebihan itu datang bersama tanggungjawab yang besar yang bebannya khusus untuk beliau dan tidak kepada budak yang lembab tadi. Dengan kelebihan akal tersebut seharusnya membuatkan dia meras insaf dan takut tidak terlaksana beban tanggungjawab tersebut. Seorang yang bijaksana akan tersungkur menyembah, meminta pertolongan Allah yang Maha Esa agar membantunya mengendalikan kehidupannya yang ia sendiri tidak pasti bagaimana ranjau dan durinya…. Berbahgialah orang-orang yang menggunakan akalnya. Pintarkah pelajar yang cemerlang akademik tapi akalnya tidak membawa dia kearah ketaatan kepada Allah SWT? Mungkin pelajar yang bodoh tadi lebih pintar jika dia insaf dengan kekurangannya dan itu menjadikan dia lebih tawadhuk…..
No comments:
Post a Comment